"Sesungguhnya mengumpulkan Al Quran (di dalam dadamu) dan (menetapkan) bacaannya (pada lidahmu) itu adalah tanggungan Kami. (Kerana itu) jika Kami telah membacakannya, hendaklah kamu ikuti bacaannya."
Definasi Al-Quran ialah Kalam Allah yang merupakan mukjizat yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad dan yang ditulis di mushaf dan diriwayatkan dengan mutawatir serta membacanya adalah ibadah.
Sejarah Pemeliharaan Kemurnian Al Quran
1) Memelihara Al Quran di masa Nabi Muhammad
Pada permulaan Islam, kebanyakan orang bangsa Arab Islam adalah bangsa yang buta huruf, amat sedikit di antara mereka yang tahu menulis dan membaca. Mereka belum mengenal kertas seperti kertas yang ada sekarang. Perkataan "al waraq" (daun) yang digunakan dalam mengatakan kertas pada masa itu hanyalah pada daun kayu 00000sahaja. Kata "al qirthas" digunakan oleh mereka hanya merujuk kepada benda-benda (bahan-bahan) yang mereka pergunakan untuk ditulis seperti kulit binatang, batu yang tipis dan licin, pelepah tamar tulang binatang dan sebagainya.
Setelah mereka menakluki negeri Persia iaitu sesudah wafatnya Nabi Muhammad barulah mereka mengetahui kertas. Orang Persia menamakan kertas itu sebagai "kaqhid". Maka digunakan kata itu untuk kertas oleh bangsa Arab Islam semenjak itu. Sebelum Nabi Muhammad atau semasa zaman Nabi Muhammad kata "kaqhid" itu tidak ada digunakan di dalam bahasa Arab, mahupun dalam hadis-hadis Nabi. Kemudian kata "al qirthas" digunakan pula oleh bangsa Arab Islam ini kepada apa yang dinamakan "kaqhid" dalam bahasa Persia itu. Kitab atau buku tentang apapun juga belum ada pada mereka. Kata-kata "kitab" di masa itu hanyalah bermaksud dalam bentuk seperti sepotong kulit, batu atau tulang dan sebagainya. Begitu juga dalam erti kata surat seperti ayat 28 surah An Naml di bawah.
"Pergilah dengan surat saya ini, maka jatuhkanlah dia kepada mereka.."
Begitu juga "kutub" (jama kitab) yang dikirimkan oleh Nabi Muhammad kepada raja-raja di masanya untuk menyeru mereka kepada Islam.
Walaupun kebanyakkan bangsa Arab Islam pada masa itu masi buta huruf, namun mereka mempunyai ingatan yang amat kuat. Pegangan mereka dalam memelihara dan meriwayatkan syair-syair dari pujangga-pujangga dan penyair-penyair mereka, ansab (silsilah keturunan) mereka, peperangan-peperangan yang terjadi di antara mereka, peristiwa-peristiwa yang terjadi dalam masyarakat dan kehidupan mereka tiap hari dan lain-lain sebagainya, adalah kepada hafalan semata-mata. Demikianlah keadaan bangsa Arab di waktu kedatangan Islam itu. Maka dijalankan oleh Nabi Muhammad suatu cara yang amali (praktis) yang selaras dengan keadaan itu dalam menyiarkan Al Quran dan memeliharanya. Tiap-tiap diturunkan ayat-ayat itu, Nabi Muhammad menyuruh menghafalnya dan menuliskannya di batu, kulit binatang, pelepah tamar dan apa saja yang bisa disusun dalam sesuatu surat. Nabi Muhammad menerangkan tertib urut ayat-ayat itu. Nabi Muhammad mengadakan peraturan iaitu Al Quran sajalah yang boleh dituliskan. Selain daripada Al Quran, Hadis-hadis atau pelajaran-pelajaran yang mereka dengar dari mulut Nabi Muhammad dilarang menuliskannya. Larangan ini bermaksud supaya Al Quran itu terpelihara, jangan campur aduk dengan yang lain-lain yang juga didengar dari Nabi Muhammad.
Nabi menganjurkan supaya Al Quran itu dihafal, selalu dibaca dan diwajibkannya membacanya dalam solat. Maka dengan itu banyaklah orang yang hafal Al Quran. Surah yang satu dihafal oleh ribuan manusia dan banyak yang hafal seluruh Al Quran. Dalam pada itu tidak ada satu ayatpun yang tidak dituliskan. Kepandaian menulis dan membaca itu amat dihargai dan digembirakan oleh Nabi Muhammad sehingga baginda bersabda,
"Di akhirat nanti tinta ulama-ulama itu akan ditimbang dengan darah syuhada (orang-orang yang mati syahid)"
Dalam peperangan Badar, orang-orang musyrikin yang ditawan oleh orang-orang Islam, yang tidak mampu menebus dirinya dengan wang, tetapi mempunyai pengetahuan dalam menulis dan membaca, masing-masing diharuskan mengajar sepuluh orang Muslim menulis dan membaca sebagai ganti tebusan. Di dalam Al Quran pun banyak ayat-ayat yang mengutarakan penghargaan yang tinggi terhadap huruf, pena dan tulisan. Contohnya seperti ayat di bawah,
"Nun, demi pena dan apa yang mereka tuliskan." (Surah Al Qalam:1)
"Bacalah, dan Tuhanmu amat mulia. Yang telah mengajar dengan pena. Dia telah mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah Al Alaq:3,4 dan 5)
Kerana itu bertambahlah keinginan untuk belajar menulis dan membaca di kalangan orang-orang muslim, dan semakin bertambah banyaklah di antara mereka yang pandai menulis dan membaca dan semakin banyaklah orang yang menuliskan ayat-ayat yang telah diturunkan itu. Nabi Muhammad sendiri mempunyai beberapa orang penulis yang bertugas menuliskan Al Quran untuk baginda. Penulis-penulis beliau yang terkenal ialah Ali bin Abi Talib, Usman bin Affan, Ubay bin Ka'ab, Zaid bin Tsabit dan Mu'awiyah. Yang terbanyak menuliskannya ialah Zaid bin Tsabit.
Dengan demikian di zaman Nabi Muhammad, terdapat 3 unsur yang tolong menolong memelihara Al Quran yang telah diturunkan itu:
1. Hafalan dari mereka yang hafal Al Quran
2. Naskah-naskah yang ditulis untuk Nabi Muhammad
3. Naskah-naskah yang ditulis oleh mereka yang pandai menulis dan membaca untuk mereka masing-masing.
Dalam pada itu oleh Jibril diadakan ulangan bacaan sekali setahun. Di dalam ulangan bacaan itu, Nabi Muhammad disuruh mengulang memperdengarkan Al Quran yang telah diturunkan itu. Di tahun baginda wafat, ulangan bacaan itu diadakan oleh Jibril dua kali. Nabi Muhammad sendiri pun sering pula mengadakan ulangan bacaan itu terhadap sahabat-sahabatnya. Maka sahabat-sahabat itu disuruh oleh Nabi Muhammad membacakan atau memperdengarkan Al Quran itu di hadapannya. Ini untuk menetapkan atau memperbetulkan hafalan atau bacaan mereka.
Ketika Nabi Muhammad wafat, Al Quran itu telah sempurna diturunkan dan telah dihafal oleh ribuan manusia, dan telah dituliskan semua ayat-ayatnya. Ayat-ayat dan surah-surahnya telah disusun menurut tertib urut yang dipertunjukkan sendiri oleh Nabi Muhammad. Mereka telah mendengar Al Quran itu dari mulut Nabi Muhammad berkali-kali, dalam solat, dalam pidato-pidato baginda, dalam pelajaran-pelajaran dan lain-lain, sebagaimana Nabi Muhammad sendiripun telah mendengar pula dari mereka. Dalam makna lain, Al Quran adalah dijaga dan terpelihara dengan baik, dan Nabi Muhammad telah mengadakan satu kaedah yang amat praktis untuk memelihara dan menyiarkan Al Quran itu, sesuai dengan keadaan bangsa Arab Islam ketika itu.
2) Al Quran di masa Abu Bakar r.a
Sesudah Nabi Muhammad wafat, umat Islam mengangkat Abu Bakar r.a menjadi khalifah. Pada awal masa pemerintahan beliau, beberapa perkara yang membawa kepada peperangan telah berlaku seperti peristiwa murtad di kalangan orang-orang yang tidak kuat imannya seperti di Nejed dan Yaman, dan terdapat banyak juga yang menolak daripada membayar zakat, juga ada pula orang-orang yang mengaku dirinya sebagai nabi. Hal-hal ini dihadapi oleh Abu Bakar r.a dengan tegas sehingga beliau berkata terhadap orang-orang yang menolak membayar zakat itu,
"Demi Allah, Kalau mereka menolak untuk menyerahkan seekor anak kambing sebagai zakat (seperti apa) yang pernah mereka serahkan kepada Rasulullah, nescaya aku akan memerangi mereka."
Di antara peperangan-peperangan yang hebat dan terkenal itu adalah peperangan Yamamah, di mana kebanyakkan tentera Islam yang ikut dalam peperangan ini adalah terdiri daripada para sahabat penghafal Al Quran. Dalam peperangan tersebut 70 orang penghafal Al Quran telah gugur syahid. Sebelum itu pula iaitu di zaman Nabi Muhammad, seramai hampir jumlah yang sama juga telah gugur syahid para sahabat penghafal Al Quran dalam satu peperangan di sumur Ma'unah dekat Kota Madinah.
Oleh kerana Umar bin Khattab r.a merasa bimbang jika gugur syahidnya para sahabat penghafal Al Quran yang masih hidup itu dalam peperangan-peperangan yang seterusnya, yang boleh membawa kepada kesan buruk terhadap pemurnian Al Quran, maka beliau pergi kepada Abu Bakar r.a untuk memperbincangkan perkara tersebut. Dalam buku-buku Tafsir dan Hadis, perbualan antara Abu Bakar r.a, Umar Al Khattab r.a dan Zaid bin Tsabit mengenai pengumpulan Al Quran adalah diterangkan seperti berikut:
Umar berkata kepada Abu Bakar: "Dalam peperangan Yamamah, para sahabat yang hafal Al Quran telah banyak yang gugur. Aku bimbang akan gugrnya para sahabat yang lain dalam peperangan selanjutnya. Maka ayat-ayat Al Quran itu perlu dikumpulkan."
Abu Bakar menjawab: "Mengapa aku akan melakukan sesuatu yang tidak diperbuat oleh Rasulullah?"
Umar menegaskan: "Demi Allah! Ini adalah perbuatan yang baik."
Dan Umar Al Khattab r.a berulang kali memberikan alasan-alasan kebaikan mengumpulkan Al Quran ini, sehingga Allah membuka hati Abu Bakar r.a untuk menerima pendapat Umar Al Khattab r.a itu. Kemudian Abu Bakar r.a memanggil Zaid bin Tsabit dan berkata kepadanya : "Umar mengajak ku mengumpulkan Al Quran."
Lalu dimaklumkan oleh Abu Bakar r.a segala perbincangannya dengan Umar Al Khattab r.a kepada Zaid bin Tsabit. Kemudian Abu Bakar berkata: "Engkau adalah seorang pemuda yang cerdas yang ku percayai sepenuhnya. Dan engkau adalah seorang penulis wahyu yang selalu disuruh oleh Rasulullah. Oleh kerana itu, maka kumpulkanlah ayat-ayat Al Quran itu."
Zaid menjawab: "Demi Allah! Ini adalah pekerjaan yang berat bagi ku. Seandainya aku diperintahkan untuk memindahkan sebuah bukit, maka hal itu tidaklah lebih berat bagiku daripada mengumpulkan Al Quran yang engkau perintahkan itu."
Dan selanjutnya dia bertanya kepada Abu Bakar r.a dan Umar r.a: "Kenapa kalian melakukan sesuatu yang tidak diperbuat oleh Nabi?"
Abu Bakar r.a menjawab: "Demi Allah! Ini adalah perbuatan yang baik."
Lalu Abu Bakar r.a memberikan alasan-alasan kebaikan mengumpulkan ayat-ayat Al Quran itu, sehingga menyadarkan Zaid akan kebaikan tersebut. Kemudian, Zaid mengumpulkan ayat-ayat Al Quran itu dari daun, pelepah kurma, batu tanah keras, tulang dan kulit unta atau kambing dan dari sahabat-sahabat yang hafal Al Quran. Dalam usaha mengumpulkan ayat-ayat Al Quran itu, Zaid bin Tsabit bekerja amat teliti. Sekalipun beliau adalah hafal Al Quran seluruhnya, tetapi untuk kepentingan pengumpulan Al Quran yang sangat penting bagi umat Islam itu, beliau masih memandang perlunya memadankan atau menyesuaikan hafalan atau catatan sahabat-sahabat yang lain dengan disaksikan oleh dua orang saksi. Dengan demikian, ayat-ayat Al Quran yang diturunkan itu seluruhnya telah ditulis oleh Zaid bin Tsabit dalam lembaran-lembaran, dan diikatkannya dengan baik dan benar, tersusun menurut urutan ayat-ayatnya sebagaimana yangtelah ditetapkan oleh Rasulullah. Kemudian Al Quran tersebut diserahkan kepada Abu BAkar r.a. Mushaf ini tetap berada di tangan Abu Bakar r.a sampai beliau (Abu Bakar) meninggal dunia. Kemudian mushaf ini dipindahkan ke rumah Umar Al Khattab dan tetap berada di sana selama pemerintahan beliau sebagai khalifah Islam. Sesudan Umar Al Khattab r.a meninggal dunia, mushaf itu dipindahkan ke rumah Hafsah, anak perempuan Umar dan isteri Rasulullah sampai masa pengumpulan dan penyusunan Al Quran di masa Khalifah Usman bin Affan r.a.
3. Membukukan Al Quran di masa Usman bin Affan r.a
Di masa khalifah Usman bin Affan r.a pemerintahan Islam telah sampai hingga ke Armenia dan Azerbaijan disebelah timur dan Tripoli di sebelah barat. Maka dengan itu kelihatannya kaum muslim telah tersebar ke seluruh wilayah Islam seperti ke Mesir, Syria, Irak, Persia dan Afrika. Ke mana mereka pergi dan di mana mereka tinggal, Al Quran tetap menjadi imam(petunjuk) mereka, dan di antara mereka itu banyak yang hafal Al Quran. Dan di antara mereka juga mempunyai naskah-naskah Al Quran. Namun naskah-naskah yang mereka punyai itu tidak sama dari segi susunan surah-surahnya.
Di samping itu di antara mereka itu terdapat perbezaan tentang bacaan Al Quran itu. Pada asalnya perbezaan bacaan ini ialah kerana Rasulullah sendiri pun memberi kelonggaran kepada kabilah-kabilah Arab Islam yang berada di masanya untuk membaca dan melafazkan Al Quran itu menurut lahjah (dialek) mereka masing-masing. Kelonggaran ini diberikan oleh Nabi Muhammad supaya mudah bagi mereka untuk menghafal Al Quran itu.
Tetapi kemudianya kelihatan tanda-tanda bahawa perbezaan tentang bacaan Al Quran ini kalau dibiarkan, akan mendatangkan perselisihan dan perpecahan yang tidak diinginkan dalam kalangan kaum muslimin. Orang yang mula-mula memperhatikan hal ini ialah seorang sahabat yang bernama Hizaifah bin Yaman. Ketika beliau turut serta dalam pertempuran menakluki Armenia dan Azerbaijan, di dalam perjalanan beliau pernah mendengar pertikaian kaum muslimin tentang bacaan beberapa ayat Al Quran, dan juga pernah mendengar perkataan seorang muslim kepada temannya iaitu "Bacaan ku lebih baik dari bacaan mu". Keadaan ini membimbangkan Huzaifah. Maka apabila beliau telah kembali ke Madinah, beliau menemui khalifah Usman b in Affan r.a dan beliau menceritakan apa yang dilihatnya mengenai pertikaian kaum muslimin tentang bacaan Al Quran itu.
Huzaifah berkata kepada Usman: "Susulilah umat Islam itu sebelum mereka berselisih tentang Al Kitab, sepertimana perselisihan Yahudi dan Nasara".
Maka khalifah Usman r.a meminta kepada Hafsah binti Umar lembaran-lembaran Al Quran yang telah diikat itu, yang ditulis di masa khalifah Abu Bakar r.a, yang disimpan oleh Hafsah untuk disalin. Maka lembaran-lembaran tersebut diserahkan kepada khalifah Usman r.a oleh Hafsah. Seterusnya Khalifah Usman membentuk satu panitia yang terdiri daripada Zaid bin Tsabit sebagai ketua, Abdullah bin Zubair, Sa'id bin 'Ash dan Abdur Rahman bin Harits bin Hisyam. Panitia ini diberikan tugas untuk membukukan Al Quran, iaitu menyalin dari lembaran-lembaran tersebut, seterusnya menjadi buku (diikatkan). Dalam menjalankan tugas ini, khalifah Usman menasihatkan supaya:
1. Mengambil pedoman kepada bacaan mereka yang hafal Al Quran
2. Kalau ada pertikaian antara mereka tentang bahasa (bacaan), maka haruslah ditulis menurut dialek suku Quraisy, sebab Al Quran itu diturunkan menurut dialek mereka.
Setelah tugas yang diamanahkan kepada panitia itu selesai maka mushaf Al Quran yang dipinjamkan daripada Hafsah itu dipulangkan semula kepada beliau. Al Quran yang dibukukan itu dinamakan "Al Mushhaf" dan seterusnya oleh panitia itu dituliskan lagi 5 buah Al Mushhaf. Empat buah di antaranya dikirimkan ke Mekah, Syria, Basrah dan Kufah, agar di tempat-tempat tersebut disalin pula dari masing-masing mushaff itu. Manakala satu buah lagi ditinggalkan di Madinah, untuk Usman sendiri dan itulah yang dinamai dengan "Mushhaf Al Imam".
Setelah itu khalifah Usman memerintahkan semua lembaran-lembaran Al Quran yang lain yang ditulis (selain daripada Al Mushhaf) dikumpulkan dan membakarnya. Maka dengan itu daripada mushhaf yang ditulis di zaman khalifah Usman itulah, kaum muslimin diseluruh pelusuk menyalin Al Quran itu.
Sehingga sekarang masih wujud kelainan bacaan kerana bacaan-bacaan yang dirawikan dengan mutawatir dari Nabi Muhammad terus dipakai oleh kaum muslimin. Namun bacaan-bacaan tersebut tidaklah berlawanan dengan apa yang ditulis dalam mushhaf-mushhaf yang ditulis dimasa khalifah Usman. Dengan demikian, pembukuan Al Quran di masa khalifah Usman itu memberikan beberapa kebaikkan seperti :-
1. Menyatukan kaum muslimin pada satu bentuk mushhaf yang seragam ejaan tulisannya.
2. Menyatukan bacaan, walaupun masih wujud kelainan bacaan, tetapi bacaan itu tidak berlawanan dengan ejaan mushhaf-mushhaf Usman. Manakala bacaan-bacaan yang tidak bersesuaian dengan mushhaf-mushhaf Usman tidak dibenarkan lagi.
3. Menyatukan tertib susunan surah-surah.
Akhirnya sampailah kepada kita sekarang dengan tidak ada sebarang perubahan sedikit pun dari apa yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a w. Dalam pada itu, pada setiap masa dan zaman, Al Quran ini dihafal oleh jutaan umat Islam danini adalah salah satu inayat Tuhan untuk menjaga Al Quran. Dengan itu terbuktilah firman Allah.
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al Quran dan sesungguhnya Kami tetap memeliharanya." (Surah Al Hijr: 9)
Rujukan : Al Quran dan Terjemahannya - Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Al Quran Indonesia
Subhanallah...,tuntunan mulia...
ReplyDeleteSUBBAHANAWALLAH,.. terimakasih telah berbagi infonya... sukses selalu
ReplyDeletesuccess for you keep share...
ReplyDelete